Artikel ini ditulis oleh bekas jurutera PETRONAS yang telah bekerja selama 28 tahun dengan syarikat minyak gergasi tanah air itu.

Saya adalah bekas jurutera di syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang telah berkhidmat selama 28 tahun sehinggalah persaraan saya beberapa tahun lalu.
Tiada apa yang lebih memuaskan hati saya ketika persaraan selain meninggalkan Petronas dengan rasa syukur dan tenang kerana tahu bahawa syarikat yang amat saya sayangi ini dalam keadaan yang amat kukuh dan diterajui oleh individu-individu yang telus, penuh integriti dan profesional serta mahir dalam selok-belok menjalankan perniagaan dan pengendalian operasi minyak dan gas yang kian mencabar.
Generasi kakitangan seperjuangan saya berkembang bersama-sama Petronas dari awal 80-an sehinggalah kini yang menyaksikan syarikat kebanggaan negara tersebut melonjak dari kecemerlangan persada domestik ke pentas global yang lebih kompetitif, dalam usaha Petronas untuk mencari rizab-rizab minyak dan gas yang baru demi kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara. Semua sedia maklum bahawa Petronas merupakan satu-satunya syarikat negara yang menghuni senarai elit Fortune 500 sejak tahun 1992 lagi.
Semuanya berkat kesabaran dan iltizam pengurusannya yang ikhlas dan serius dalam memastikan Petronas ditadbir urus dengan cekap dan berada di landasan amalan-amalan terbaik korporat (best corporate practices) yang membolehkan ia mendapat kepercayaan tinggi bukan sahaja dari kalangan rakan-rakan niaga globalnya seperti ExxonMobil dan Shell, malah juga daripada kerajaan-kerajaan tuan rumah (host governments) di mana Petronas beroperasi seperti Sudan, Mesir, Turkmenistan, Vietnam, Myanmar dan Indonesia.
Dalam senarai Fortune 500 bagi tahun 2008, Petronas melonjak dari kedudukan global keseluruhan ke-121 (tahun sebelumnya) ke kedudukan ke-95, dengan keuntungan bersih RM61 bilion (AS$18.1 bilion). Bagi kategori syarikat paling untung pula, Petronas mencatat rekod tersendiri apabila dinobatkan sebagai syarikat ke-8 paling untung di dunia, menewaskan gergasi-gergasi multinasional yang lain seperti Toyota dan Honda.
Di kalangan syarikat-syarikat minyak dan gas pula, Petronas selesa di kedudukan ke-16 manakala dari segi keuntungan pula, ia menduduki tangga ke-6 dunia. Keuntungan bersih yang dicatat Petronas ini sudah pun ditolak pembayaran royalti, dividen dan cukai kepada kerajaan. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008, Petronas membayar RM67.6 bilion kepada kerajaan, termasuk RM6 bilion dividen khas.
Sejak ditubuhkan 34 tahun yang lalu, Petronas sudah menyumbang RM403 bilion kepada kerajaan yang dibelanjakan untuk pelbagai projek, infrastruktur dan kemudahan untuk manfaat rakyat. Untuk dimudahkan cerita, kira-kira 40 peratus daripada pendapatan kerajaan disumbang oleh Petronas. Setiap satu ringgit yang diperoleh kerajaan, 30 sen adalah daripada Petronas.
Begitulah pentingnya syarikat minyak dan gas negara itu kepada kita semua. Saya yakin prestasi kewangan Petronas yang kukuh selama ini ialah kerana ia diterajui oleh individu-individu yang berbakat dan berkebolehan, yang merupakan legasi Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin, bekas Pengerusi dan Presiden Petronas yang akan sentiasa dikenang sebagai orang yang bertanggungjawab menjadikan Petronas apa yang kita lihat pada hari ini.
Kesinambungan kecemerlangan Azizan diteruskan pula oleh Tan Sri Hassan Marican, dengan disokong barisan pengurusan yang begitu mantap serta diawasi dan dinasihati oleh Lembaga Pengarah yang turut dianggotai wakil-wakil kanan kerajaan, termasuk daripada Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pula melapor terus kepada Perdana Menteri, satu sistem yang telah digunapakai sejak penubuhannya pada tahun 1974, untuk memastikan campur tangan politik yang minimum.
Begitulah kebijaksanaan kepimpinan negara yang terdahulu ketika merangka dasar tersebut. Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campur tangan politik yang melampau. Kini, saya rasa tidak sedap hati kerana berdasarkan cakap-cakap dan bisik-bisik di sana sini, serta perkhabaran di ruang siber, Petronas mungkin berhadapan dengan nasib yang sama.
Orang-orang tertentu, termasuk ahli politik, dikatakan akan menganggotai Lembaga Pengarah Petronas serta mengambil alih teraju Petronas. Secara peribadi, saya merasakan ini satu langkah yang tidak perlu sama sekali. Read More »





