Bebaskan PETRONAS dari politik!

Filed under Artikel

Artikel ini ditulis oleh bekas jurutera PETRONAS yang telah bekerja selama 28 tahun dengan syarikat minyak gergasi tanah air itu.

Saya adalah bekas jurutera di syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang telah berkhidmat selama 28 tahun sehinggalah persaraan saya beberapa tahun lalu.

Tiada apa yang lebih memuaskan hati saya ketika persaraan selain meninggalkan Petronas dengan rasa syukur dan tenang kerana tahu bahawa syarikat yang amat saya sayangi ini dalam keadaan yang amat kukuh dan diterajui oleh individu-individu yang telus, penuh integriti dan profesional serta mahir dalam selok-belok menjalankan perniagaan dan pengendalian operasi minyak dan gas yang kian mencabar.

Generasi kakitangan seperjuangan saya berkembang bersama-sama Petronas dari awal 80-an sehinggalah kini yang menyaksikan syarikat kebanggaan negara tersebut melonjak dari kecemerlangan persada domestik ke pentas global yang lebih kompetitif, dalam usaha Petronas untuk mencari rizab-rizab minyak dan gas yang baru demi kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara. Semua sedia maklum bahawa Petronas merupakan satu-satunya syarikat negara yang menghuni senarai elit Fortune 500 sejak tahun 1992 lagi.

Semuanya berkat kesabaran dan iltizam pengurusannya yang ikhlas dan serius dalam memastikan Petronas ditadbir urus dengan cekap dan berada di landasan amalan-amalan terbaik korporat (best corporate practices) yang membolehkan ia mendapat kepercayaan tinggi bukan sahaja dari kalangan rakan-rakan niaga globalnya seperti ExxonMobil dan Shell, malah juga daripada kerajaan-kerajaan tuan rumah (host governments) di mana Petronas beroperasi seperti Sudan, Mesir, Turkmenistan, Vietnam, Myanmar dan Indonesia.

Dalam senarai Fortune 500 bagi tahun 2008, Petronas melonjak dari kedudukan global keseluruhan ke-121 (tahun sebelumnya) ke kedudukan ke-95, dengan keuntungan bersih RM61 bilion (AS$18.1 bilion).  Bagi kategori syarikat paling untung pula, Petronas mencatat rekod tersendiri apabila dinobatkan sebagai syarikat ke-8 paling untung di dunia, menewaskan gergasi-gergasi multinasional yang lain seperti Toyota dan Honda.

Di kalangan syarikat-syarikat minyak dan gas pula, Petronas selesa di kedudukan ke-16 manakala dari segi keuntungan pula, ia menduduki tangga ke-6 dunia. Keuntungan bersih yang dicatat Petronas ini sudah pun ditolak pembayaran royalti, dividen dan cukai kepada kerajaan. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008, Petronas membayar RM67.6 bilion kepada kerajaan, termasuk RM6 bilion dividen khas.

Sejak ditubuhkan 34 tahun yang lalu, Petronas sudah menyumbang RM403 bilion kepada kerajaan yang dibelanjakan untuk pelbagai projek, infrastruktur dan kemudahan untuk manfaat rakyat.  Untuk dimudahkan cerita, kira-kira 40 peratus daripada pendapatan kerajaan disumbang oleh Petronas. Setiap satu ringgit yang diperoleh kerajaan, 30 sen adalah daripada Petronas.

Begitulah pentingnya syarikat minyak dan gas negara itu kepada kita semua. Saya yakin prestasi kewangan Petronas yang kukuh selama ini ialah kerana ia diterajui oleh individu-individu yang berbakat dan berkebolehan, yang merupakan legasi Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin, bekas Pengerusi dan Presiden Petronas yang akan sentiasa dikenang sebagai orang yang bertanggungjawab menjadikan Petronas apa yang kita lihat pada hari ini.

Kesinambungan kecemerlangan Azizan diteruskan pula oleh Tan Sri Hassan Marican, dengan disokong barisan pengurusan yang begitu mantap serta diawasi dan dinasihati oleh Lembaga Pengarah yang turut dianggotai wakil-wakil kanan kerajaan, termasuk daripada Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pula melapor terus kepada Perdana Menteri, satu sistem yang telah digunapakai sejak penubuhannya pada tahun 1974, untuk memastikan campur tangan politik yang minimum.

Begitulah kebijaksanaan kepimpinan negara yang terdahulu ketika merangka dasar tersebut. Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campur tangan politik yang melampau.  Kini, saya rasa tidak sedap hati kerana berdasarkan cakap-cakap dan bisik-bisik di sana sini, serta perkhabaran di ruang siber, Petronas mungkin berhadapan dengan nasib yang sama.

Orang-orang tertentu, termasuk ahli politik, dikatakan akan menganggotai Lembaga Pengarah Petronas serta mengambil alih teraju Petronas. Secara peribadi, saya merasakan ini satu langkah yang tidak perlu sama sekali. Lagi pun, semua sedia maklum bahawa anggota-anggota Lembaga Pengarah Petronas terdiri daripada Presiden Petronas sendiri, beberapa orang Naib Presiden Petronas dan wakil-wakil kerajaan Persekutuan yang merupakan pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU.

Ketua Penasihat Undang-Undang Kumpulan Petronas pula bertindak sebagai Setiausaha Syarikat. Semuanya cukup berkaliber dan memiliki kredibiliti yang tinggi.

Selama ini, Petronas sudah membuktikan ia mampu membuat keputusan-keputusan perniagaan yang bijak dan menguntungkan tanpa gangguan atau campur tangan politik.  Cukup sekadar melapor terus ke Perdana Menteri dan kementerian-kementerian yang berkaitan. Saya amat berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dapat memastikan Petronas terus dibenarkan beroperasi seperti biasa kerana syarikat tersebut telah pun membuktikan berkali-kali saban tahun bahawa ia adalah berwibawa dan dinamik.

Hasilnya dinikmati oleh seluruh warga Malaysia, sama ada kita sedar atau tidak. Orang Amerika ada satu pepatah berbunyi, “If it ain’t broken, don’t fix it.” (Kalau benda itu tidak rosak, tidak perlu ia dibaiki).  Saya rasa pepatah ini amat sesuai sekali untuk Petronas yang tidak pernah menghampakan apabila setiap tahun ia melaporkan keuntungan yang besar, yang membolehkan ia memberikan pulangan yang besar juga kepada kerajaan dan rakyat. Kalau kita sayang Petronas, kita mesti percaya dengan pengurusan yang ada untuk terus memajukan syarikat kebanggaan negara ini.

Memanglah orang-orang seperti Hassan Maricanj tidak boleh menerajui Petronas buat selama-lamanya.  Namun sekurang-kurangnya, biarlah generasi pelapis yang telah dididik oleh beliau meneruskan legasi syarikat tersebut untuk kemakmuran jangka panjang negara.

KAMARULZAMAN ISMAIL

Taman Lembah Keramat

Kuala Lumpur

artikel yang berkaitan:

Najib’s bid to put aide on Petronas board hits snag

Omar Ong to advance Tingkat Empat Agenda with Petronas Appointment,

Read Dr M’s pieceTingkat 4 Najibhere.

6 Comments

  1. Posted June 26, 2009 at 5:02 pm | Permalink

    dgr dh psl rumor ni sblm balek cuti ari tu. takut jgk. haish. politik ni wase nk sepak masuk lokang je.

  2. Posted June 26, 2009 at 9:55 pm | Permalink

    hah…tau x pe..2 ah..ssh klu hidup ber”motifkan” duit je..

  3. zul
    Posted June 27, 2009 at 1:18 pm | Permalink

    kekgi2 kena potong scholar bdk2 petronas RM100 sorg utk masuk poket diorg…..menjerit la masing2…hahaha

  4. Posted June 27, 2009 at 2:56 pm | Permalink

    jgn zul….tmbh rm 100 xpe..potong RM100 mati la kawan…

  5. zul
    Posted June 27, 2009 at 5:35 pm | Permalink

    wat petisyen lalu rmi2…bantah set2 dier…hahaha

  6. Posted June 28, 2009 at 12:21 pm | Permalink

    hahaha…..kte pakat buat mse kat utp kkg..

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*
*If you wanna put your photo next to your comment, you have to register through this website
FireStats icon Powered by FireStats